PBS penuhi Falsafah Pendidikan Negara

KETIKA ini Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sudah berjalan di semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Di sekolah rendah PBS kini telah dilaksanakan di tahun 1, 2 dan 3. Pada tahun hadapan PBS akan dijalankan pula di tahun 4. Di sekolah menengah, PBS bermula pada tahun 2012.

PBS bukanlah satu sistem baharu malah kalau kita masih ingat, pentaksiran inilah yang selama ini dijalankan di sekolah-sekolah. Sebagai contoh mudah kita (guru) ada memberi murid kerja rumah, kuiz, projek, soal jawab, mengisi tempat kosong dan lain-lain lagi.

PBS ketika ini merupakan penambahbaikan kepada PBSA yang terdahulu dengan mengetengahkan pentaksiran merujuk standard dan penggunaan sistem PBS (SPPBS) untuk membantu guru-guru merekod pencapaian murid secara tersusun dan berterusan.

Soalnya mengapa pula PBS dilaksanakan ketika ini adalah disebabkan ia seiring dengan program transformasi kerajaan untuk menghasilkan modal insan bertaraf dunia.

PBS yang dibincangkan kini bukanlah isu walaupun ramai dalam kalangan guru yang tidak berapa suka dengan menganggap PBS ini membebankan malah telah meluahkan reaksi mereka melalui pelbagai medium.

Reaksi ini memang dijangka berpunca daripada ketidakfahaman mereka. Apabila sudah difahami, kerja menjadi mudah untuk dilaksanakan walaupun sedikit memenatkan.

Sememangnya saya bersimpati dengan perkara ini tetapi ini adalah dasar kerajaan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan perkara ini dengan niat yang baik setelah sekian lama pendidikan terabai daripada murid dan para pelajar.

Sebenarnya PBS ini dilaksanakan bagi tujuan pertama untuk meningkatkan pencapaian pelajar, kedua memperbaiki kelemahan atau masalah murid dalam pembelajaran, ketiga meningkatkan keyakinan kepada murid untuk belajar dan keempat untuk tujuan mengubahsuai strategi pengajaran.

Selama ini mereka dipadatkan dengan keampuhan peperiksaan yang meletakkan mereka tersasar daripada landasan sebenarnya.

Peperiksaan bererti mengutamakan keupayaan akademik dan hanya menilai aspek kognitif sahaja lantaran itu aspek yang bukan akademik tercicir dan terabai dek mengejar kualiti dan kuantiti 100 peratus.

Hal ini mengakibatkan lahirnya insan-insan yang tidak seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Menonjol dalam akademik, lemah dalam aspek rohani dan jasmani, kemahiran sosial dan nilai-nilai murni yang lain.

Tidak dinafikan sebelum PBS ini dilaksanakan semua guru yang terlibat telah mendapat maklumat mengenainya tetapi sebelum maklumat ini sampai ke sekolah telah berlaku ketirisan maklumat.

Akibatnya ada maklumat yang tertinggal dan ada maklumat yang sukar difahami malah mungkin disalah tafsir.

Guru-guru di bilik darjah akan menjadi tidak begitu faham sedangkan merekalah yang melaksanakan semua ini.

Pada saya, guru tidak wajar dipersalahkan namun kita adalah penggerak di peringkat akar umbi – mahu atau tidak kita kena cepat belajar dan memahami mengapa PBS ini hendak dilaksanakan di sekolah-sekolah.

PBS adalah untuk insan-insan bakal pemimpin pada masa akan datang. Melahirkan insan yang cemerlang, berketerampilan, mempunyai akhlak dan jati diri terpuji dalam pelbagai bidang sememangnya tugas manusia bernama guru.

Kita tidak mahu yang pekak hanya membakar meriam, yang kurap hanya memikul buluh, yang buta hanya bertongkat.

Setiap insan mempunyai kelemahan dan kekurangan tetapi semua itu adalah cabaran yang memberi kekuatan, keazaman, ruang dan peluang. Untuk mendapatkan semua itu PBS adalah jawapannya!

Artikel Penuh:

http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130902/pe_01/PBS-penuhi-Falsafah-Pendidikan-Negara#ixzz2fACVoLwn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Posted on 09/17/2013, in Kurikulum, Motivasi, SK Desa Amanpuri and tagged . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Tinggalkan komen yer.. :))

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: